Sifat Membesarkan Diri Bhg 1

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum


Sifat membesarkan diri atau takabbur yang biasa kita dengar adalah suatu penyakit hati yang Allah tidak suka, Nabi Muhammad tidak suka dan memang kita sebagai manusia pun tidak suka.

Apa takrif sifat takabbur ini? Sifat takabbur ini adalah dia terasa di hati bahawa dirinya itu lebih besar atau sempurna daripada orang lain, dan dirinya juga merasa bahawa orang lain lebih hina daripadanya. Sifat mazmumah ini adalah sebesar-besar maksiat hati. Jika diibaratkan dengan kereta api, maka dia adalah kepalanya.

Sebagai contoh kita merasakan kita cantik atau kacak daripada orang lain. Kita merasakan kita ini lebih berpendidikan daripada orang lain. Kita rasa kita besar, kita rasa kita hebat dan sebagainya.

Tempat paling layak bagi sifat ini adalah neraka jahannam. Firman Allah Taala dalam Surah Az-Zumar ayat 72 " Sejahat-jahat tempat kediaman bagi orang yang membesarkan diri adalah api neraka jahannam".

Dan Nabi juga telah bersabda "Tidak masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya sebesar debu daripada sifat takabbur"

Kita sebagai manusia tiada langsung hak untuk membesarkan diri kerana tiada suatu nikmat pun yang ada di diri kita melainkan ianya datang daripada Allah. Semua yang ada pada diri kita pada ketika ini, harta, pangkat, anak, isteri dan lain-lain adalah pinjaman daripada Allah. Dia boleh menarik semua kepunyaan kita dalam sekelip mata.

Jangan kita sangka bahawa orang yang berkelebihan sahaja seperti mempunyai pangkat besar, kereta besar, isteri besar sahaja yang akan diserang penyakit hati ini, bahkan orang-orang kebiasaan yang hanya menolak kereta sorong juga akan di serang penyakit ini. Penyakit ini penyakit hati, maka susah untuk kita melihat dan mengesannya. Tetapi jika ianya sudah parah, sudah melarat, maka sifat takabbur ini akan terzahir juga oleh penampilan luaran kita.

Ini kerana hati kita adalah raja kepada semua anggota kita. Jika cantik hati kita, maka cantiklah penampilan kita. Sebab itu kita selalu diingatkan, dinasihatkan agar sentiasa membersihkan hati.

Jangan pula kita sangka orang yang bijak, kuat beribadat dan juga alim tidak akan diserang oleh penyakit ini. Meraka turut diserang oleh penyakit ini jika tidak berhati-hati. Kita semua tahu siapa itu Iblis. Siapa dia? Dia dahulu merupakan Tok Guru kepada para malaikat. Dia sangat alim, sangat bijak dan sangat kuat beribadat. Kalau kita rasa kita bijak, Iblis lagi punyai kebijakan. Kalau kita sangka kita kuat ibadat, bangun qiamullail. Iblis dulu tak tidur beribadat. Tetapi dia dilaknat sebab di dalam hati dia punyai sifat takabbur. Disebabkan dia tak ingin sujud kepada Nabi Adam a.s. Dia merasakan dirinya yang diperbuat daripada api lebih mulia dan hebat daripada Nabi Adam a.s. yang diperbuat daripada tanah.

Moga kita semua dijauhi oleh sifat terkeji ini. Saya hanya ingin berkongsi dan juga berpesan kepada diri sendiri dan sesiapa yang terbaca. Jika ada sebarang kesilapan dan teguran amatlah dialu-alukan. Supaya saya tidak tersilap. Dan supaya kita semua mendapat manfaat dan berkongsi bersama.


Assalamualaikum. :)

Rujukan :

1. Kitab Penawar bagi Hati
2. Renung-renungkan dan Selamat beramal -Prof Izzi
3. Masjid As-Salam (Pengajian)


3 comments:

Sunah Sakura said...

alhamdulillah...terima kasih untuk peringatan..

Sakura Sue said...

penyakit hati ni memang susah nk elak.. kdg2 terlintas kat hati pun, kene cepat2 istighfar.. betul tak?

aiman said...

kak sunah : Alhamdulillah.. sama2..

Sakura : betul.. memang susah nak bendung..